Panduan dan Syarat

PANDUAN DAN SYARAT PENYEWAAN RUANG AWAM
DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA

1. Permohonan Sewaan

1.1

Permohonan hendaklah dikemukakan selewat-lewatnya empat belas (14) hari bekerja sebelum tarikh penyewaan.
Namun, sekiranya masih terdapat kekosongan, permohonan penyewaan boleh dikemukakan selewat-lewatnya tujuh (7) hari bekerja sebelum tarikh penyewaan.

1.2

Permohonan boleh dibuat dengan memuat turun dan mengisi Borang Penyewaan Ruang Awam yang disediakan.

1.3

 

Borang permohonan yang telah lengkap diisi hendaklah dihantar ke alamat seperti yang berikut:

Ketua Pengarah,
Dewan Bahasa dan Pustaka,
Jalan Dewan Bahasa,
50460 Kuala Lumpur.
(u.p.: Ketua Bahagian Pentadbiran Am)

e-mel: ruangsewa@dbp.gov.my

 

2. Bayaran Sewaan

2.1

Selepas kelulusan daripada DBP diperoleh, penyewa hendaklah mengemukakan bayaran penuh sewaan dan deposit kepada Bahagian Kewangan dan Bekalan, Tingkat 27, Menara DBP selewat-lewatnya tujuh (7) hari bekerja sebelum tarikh penyewaan. Bagi permohonan yang dibuat kurang daripada tempoh yang ditetapkan, bayaran hendaklah dibuat pada tarikh kelulusan diterima.

2.2

Kegagalan penyewa membuat pembayaran dalam tempoh yang ditetapkan boleh menyebabkan kelulusan tersebut dibatalkan.

Catatan:
1. Wang deposit adalah sebagai jaminan untuk bayaran ganti rugi  kerosakan yang disebabkan oleh penyewa atau pengguna.
2. Wang deposit akan dikembalikan kepada penyewa sekiranya didapati tiada kerosakan, atau penggunaan ruang awam tidak melebihi tempoh yang ditetapkan.

2.3

Satu salinan resit bayaran hendaklah diserahkan kepada Bahagian Pentadbiran Am, Aras 14, Menara DBP untuk tujuan perekodan.

2.4

DBP berhak membatalkan tempahan tanpa perlu memberikan sebarang alasan. Dalam kes seperti ini, wang deposit akan dikembalikan sepenuhnya dan penyewa tidak berhak menuntut sebarang ganti rugi daripada DBP.

2.5

Sekiranya tempahan dibatalkan oleh penyewa kurang daripada tiga (3) hari dari tarikh penyewaan, maka wang deposit akan dipotong sebanyak 50%.

 3. Larangan

 

3.1

Majlis sosial yang menghidangkan minuman dan makanan haram di sisi agama Islam dan acara dengan aktiviti tidak bermoral tidak dibenarkan.

3.2

Penyewa tidak dibenarkan menjual makanan di dalam, di sekeliling atau di mana-mana kawasan yang berhampiran ruang awam melainkan terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis daripada Dewan  Bahasa dan Pustaka.

3.3

Penyewa tidak dibenarkan memasak makanan di dalam ruang awam tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada DBP.

3.4

Penyewa tidak dibenarkan mengalih apa-apa barang, perabot, gambar dan sebagainya yang telah diletakkan secara tetap di dalam ruang awam dari tempat asalnya.

3.5

Penyewa hendaklah memastikan orang ramai tidak merokok di dalam ruang awam dan bangunan DBP.

3.6

Penyewa tidak dibenarkan menggunakan paku, barang-barang tajam, cat, pelekat dan sebagainya pada lantai, dinding dan siling ruang awam.

3.7

DBP berhak melarang sebarang kegiatan-kegiatan yang difikirkan tidak sesuai dan bertentangan dengan kebudayaan kebangsaan diadakan di ruang awam DBP.

3.8

Sebarang alat atau kelengkapan yang hendak digunakan dan dibawa masuk ke dalam Ruang Awam hendaklah mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada DBP.

 4. Kerugian dan Kerosakan

 

4.1

Sebarang kerosakan yang berpunca daripada kecuaian penyewa menjadi tanggungjawab penyewa. DBP berhak menuntut ganti rugi dengan memotong bayaran deposit.

4.2

Sebarang kerosakan yang nilainya lebih daripada wang deposit, maka wang deposit tidak akan dikembalikan dan nilai kerosakan selebihnya akan dituntut daripada penyewa.

 5. Hal-hal lain.

 

5.1

Petugas DBP yang mempunyai  urusan rasmi hendaklah bebas masuk pada bila-bila masa untuk memeriksa ruang awam bagi menjalankan tugas mereka.

5.2

Segala persiapan dan susun atur kerusi/peralatan adalah tanggungjawab penyewa tetapi akan diawasi oleh penyelia ruang awam DBP.

5.3

Penyediaan / pemasangan latar hias pentas (backdrop) dan sepanduk adalah tanggungjawab penyewa tetapi draf perkataan pada latar hias pentas dan sepanduk itu mestilah diserahkan dua minggu sebelum majlis berlangsung bagi mendapat kelulusan bertulis daripada DBP.

5.4

Penyewa juga bertanggungjawab mengemas, membuka latar hias pentas dan sepanduk tersebut serta membawa keluar dari premis DBP selewat-lewatnya 24 jam selepas majlis selesai.

5.5

Tempat letak kereta berbayar disediakan. Penggunaan tempat letak kenderaan staf DBP dibenarkan sekiranya mendapat kebenaran Pegawai Keselamatan DBP.

5.6

Penyewa tidak boleh membuat tuntutan ganti rugi kepada DBP atas sebarang kerosakan atau kehilangan atau kerugian harta kepunyaan penyewa.

5.7

DBP tidak terikat kepada mana-mana peraturan/syarat tambahan yang disediakan oleh penyewa ruang awam DBP.

5.8

DBP mempunyai kuasa dan hak untuk  memberhentikan sebarang kegiatan di ruang awam sekiranya menyalahi tujuan penggunaan ruang awam seperti yang tercatat di dalam peraturan ini tanpa memberikan sebarang sebab.